HARI MALAYSIA 2017
Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca-pembaca blogger sekalian, hari ini saya ingin berkongsikan pengalaman saya dalam menyertai perbarisan kolej untuk hari malaysia yang telah dilangsungan pada 18 september 2017 di pusat sukan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Terus terang saya memang tidak berminat dalam menyertai kawad kaki sejak bangku sekolah lagi sebab fikir kawad kaki ini sesuatu yang membosankan. Akan tetapi saya terpaksa menyertai perbarisan kolej disebabkan rakan-rakan saya mengajak untuk masuk bagi dapatkan merit supaya dapat duduk di kolej untuk masa depan. Jadi kami masuk perbarisan kolej sebagai pemegang bendera sahaja kerana tugas pemegang bendera ni tidak berat seperti mana ahli-ahli perbarisan yang lain.
Pada hari pertama perbarisan, kami datang seperti biasa dan menjalani latihan seperti yang diajar oleh tenaga pengajar kami. Pada hari kedua dan ketiga latihan perbarisan kami diuji dengan ketahanan mental dan fizikal kerana latihan dilakukan dengan lebih banyak serta tempoh masa yang panjang tidak kira lewat malam. Tapi dengan latihan yang bertubi-tubi kami lakukan dapat mencipta satu memori indah serta memantapkan lagi perbarisan kolej kami.
Tiba masanya hari Malaysia di mana kami akan berarak bersama-sama dengan kolej lain bagi menyambut hari Malaysia itu. Kami berkumpul selepas asar bagi membuat persiapan apa yang patut dan bertolak ke pusat sukan selepas menunaikan solat maghrib. Tibanya kami di sana, kami dapat melihat perbarisan-perbarisan dari kolej lain dengan pakaian prop mereka mengikut tema yang ditetapkan. Majlis bermula tepat jam 8:30 malam dengan dimulai kawad kaki oleh kadet-kadet yang ada di UKM ini seperti PALAPES, SUKSIS, JPAM serta BSMM. Debaran kian tiba apabila persembahan perbarisan kolej-kolej lain menunjukkan persembahan yang mantap dan terbaik.
Akhirnya tiba giliran persembahan perbarisan daripada kolej kami. Sebelum bermulanya persembahan kami, kami merasa amat berdebar kerana kami akan berarak di hadapan khalayak ramai yang terdiri daripada orang-orang atasan UKM sendiri. Kami mempersembahkan perarakan perbarisan kami daripada awal sehingga tamat perbarisan. Selepas tamat sahaja perbarisan itu kami berasa lega kerana walaupun kolej kami ini kecil kami dapat menunjukkan persembahan perbarisan yang mantap serta terbaik seperti mana kolej-kolej yang lain.
Pendek kata, sepanjang saya menyertai perbarisan ini saya dapat menimba pengalaman yang baru serta dapat mengenali lebih ramai rakan-rakan yang lain. Dengan itu, tercipta sebuah kenangan yang terindah bersama rakan-rakan saya yang lain serta dapat mengeratkan sillaturahim antara ssatu sama lain.
Persembahan perbarisan |
Suasana perarakan |
Comments
Post a Comment